Qaryah Ramadan atau khemah Tarawih berhawa dingin bersaiz 3,200 kaki persegi dapat menampung kira-kira 1,000 jemaah yang pertama seumpamanya di negara ini, mendapat sambutan menggalakkan.

Orang ramai datang mengerjakan solat Tarawih sehingga melimpah ke luar khemah. Qaryah Ramadan itu dibina sementara di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV.

Apa yang lebih menarik program di Qaryah Ramadan bermula sejak petang sebelum berbuka puasa sehingga bersahur.

Program tersebut dikendalikan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Tema Ramadan tahun ini 'Ihya Ramadan di Serambi Mekah' mampu menarik kedatangan pelancong ke Kelantan.

Qaryah Ramadan itu dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini yang turut dihadiri lebih 1,000 penduduk tempatan.

Berucap pada majlis itu yang diadakan selepas dua salam Tarawih beliau berkata, Kelantan sesuai diberi gelaran 'negeri tadahan wahyu' kerana pemimpinya mengikuti ajaran yang dibawa Nabi Muhammad saw.

"Oleh itu mana-mana pemimpin atau menteri yang melawan ajaran Nabi Muhammad saw ketika memimpin negara atau negeri maka tindakannya itu serupa dengan apa yang pernah dilakukan Namrud.

"Kerajaan buat projek macam mana besar sekali pun, ia boleh dipinda, namun projek Tuhan khususnya kematian tidak boleh dipinda.

"Mana-mana kerajaan boleh dijatuhkan dengan undian rakyat, namun untuk mengundi supaya kiamat tidak berlaku.. itu tidak boleh," katanya...HarakahDaily